Tuesday, February 12, 2008

Ehans artworks...



sculpture...



3d max..




painting...


sketches....

Monday, February 11, 2008

seni catan...batik



Sejarah
Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Motif
Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.
Rupabentuk Kain Batik Sarung
Contoh Motif Organik.
Motif Ayam Motif Bunga Buluh Motif Bunga Kerak Nasi Motif Bunga Kotak Bercampur Motif Bunga Orkid Motif Bunga Raya Motif Daun Sireh Motif Geometrik Motif Pucuk Rebung Motif Rama-rama Motif Siput Motif Ayam
Contoh Motif Geometrik.
Motif Pucuk Rebung Motif Bunga Kotak Bercampur Motif Bunga Buluh
Motif Bunga Raya Motif Siput Motif Pucuk Rebung
Corak
Corak kain batik bermaksud bagaimana motif-motif yang dipilih dicorakkan di atas kain batik tersebut.
Antara corak-corak yang sering digunakan.
Corak Berdiri Corak Jalur Corak Melintang Corak Menyeluruh Corak Menyerong Corak Tompok-tompok Corak Ulangan Batu-bata Corak Ulangan/Selang seli
Blok penerap batik
Proses Membuat
Alatan yang biasanya digunakan untuk membuat batik.
Blok penerap Campuran lilin Kain Pencelup Sebuah Meja
Kain benang kapas berwarna putih merupakan yang sesuai untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok, dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.
Penjenisan Kain Batik
Batik terbahagi kepada tiga jenis.
Batik Blok
Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.
Proses menerap kain menggunakan blok corak
Batik Conteng

Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.
Proses mencanting kain
Batik Skrin
Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.
Penggunaan
Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

seni arca ukiran batu


Sejarah
Terdapat banyak kesan-kesan sejarah yang membuktikan bahawa seni ukiran batu telah lama wujud. Jika disorot kembali, seni ukiran batu merupakan hasil peninggalan sejarah kebudayaan Megalitik atau Zaman Kebudayaan Batu Hidup. Di Semenanjung Tanah Melayu, kesan-kesan awal mengenai kedatangan agama Islam yang dapat dipegang sebagai bukti ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh awal kurun keempat belas. Batu Bersurat tersebut dapat dianggap sebagai satu bahan seni yang terawal dijumpai selepas agama Islam menjadi pegangan hidup orang-orang Melayu. Manakala batu-batu yang berbentuk kasar dan tidak berukir pula digunakan sebagai batu nisan atau kegunaan agama. Penggunaan-penggunaan ini boleh disifatkan sebagai bentuk arca yang awal. Peninggalan warisan ini merupakan karya seni yang tidak ternilai dan menjadi khazanah negara yang terpenting.
Jenis-jenis Batu dan Seni Ukiran
Terdapat pelbagai jenis seni ukiran batu yang menjadi tinggalan warisan pengukir-pengukir masa lampau. Antaranya adalah seperti berikut:
Batu Menhir
Kerja-kerja mengukir batu Antara batu menhir yang terdapat di Semenanjung ialah sekumpulan batu yang terdapat di Negeri Sembilan yang merupakan hasil manifestasi yang mempunyai sesuatu bentuk. Kumpulan batu menhir berukir ini terdapat di kawasan Keramat Sungai Udang, dekat Pengakalan Kempas, kira-kira 37 km selatan Port Dickson. Batu-batu pejal itu terletak berhampiran dengan makam Syeikh Ahmad Mokhtar, dipercayai dibentuk lebih awal dari batu yang menandakan Keramat Sungai Udang. Yang paling menarik dari segi rupa ialah tiga buah batu berbentuk melengkung, pipih panjang dan berdiri tegak.

Batu Pedang
Batu Pedang yang tinggi sekali berukuran 252 cm tinggi, 66 cm lebar dan 32 cm tebal, digelar batu pedang mempunyai ukiran timbul dengan bentuk dan garis yang melengkuk. Ukiran itu dibuat berasaskan kepada bentuk batu itu sendiri dan disesuaikan dengan sifatnya. Garis-garis yang dinamis tumbuh dari suatu gerak yang berpunca dari sifat asli batu itu dan kemudian hidup keluar ke bahagian batu itu yang besar. Gerak ukiran itu berpunca dari suatu pusat di bahagian tengah batu yang panjang itu. Batu itu merupakan sebuah karya asli arca yang mencapai taraf seni rupa yang tinggi, dengan imbangan yang sesuai antara bentuk, garis dan ruang. Kepekaan pengukir membuat imbangan unsur antara bahagian yang besar dengan yang kecil, serta susunan semukur dan tak semukurnya. Imbangan semukur ini merupakan salah satu sifat manifestasi seni rupa Melayu. Selain itu, batu itu mempunyai sifat sebagai suatu ikon, iaitu objek perantaraan antara manusia dan ruang serta alam sekitar. Di situ dapat disaksikan usaha seni dan daya cipta manusia yang mempunyai kepekaan dan daya kreatif yang luar biasa, setanding dengan hasil-hasil seni dari tempat lain dan dalam zaman yang berbeza.

Ukiran batu
Batu ini mempunyai bahagian yang besar, di kawasan tengah, terdapat bentuk-bentuk bulat, lengkuk berpusar dan bentuk-bentuk simbolis yang lain, yang menyerupai tubuh manusia, seakan-akan muka dan bahagian tubuh yang lain. Di bahagian bawahnya pula terdapat seekor naga bertelinga dua, manakala di sebelah tepi terdapat ukiran sebagai hiasan penyudah arca yang bersusun dan berulang-ulang dengan variasi. Antaranya ada yang berupa seperti ombak. Di bahagian atas, bentuknya berirama memberi implikasi gerak menolak ke atas menghala ke luar. Suatu bentuk yang melengkuk panjang. Melintangi arca, menyambung dua bahagian pinggir, di sebelah atas bentuk bulatan. Perkataan 'Allah" mengunakan tulisan kufi tegak diukir secara timbul di dalam ruang di atasnya. Cara huruf itu diukir sama dengan bahagian lainnya.
Bentuk tulisan itu pula berbeza daripada bentuk tulisan yang terukir pada batu di kubur Syeikh Ahmad Mokhtar Ramli ibni Marfu Talani meninggal dunia pada tahun 873. Bentuk tulisannya mempunyai sifat gerak dinamis yang sama dengan gerak yang terdapat pada ukiran Batu Pedang. Gaya tulisannya tersendiri dan sama dengan bentuk ukiran pada Batu Pedang terletak di bahagian pinggirannya. Bentuk tulisan dan gaya ukiran itu tidak terdapat di tempat lain atau di rantau ini, dan tidak menunjukkan pengaruh seni rupa dari budaya lain. Ukiran pada Batu Pedang itu ialah satu hasil pernyataan aliran ekspresionisme yang tersendiri yang menunjukkan jiwa cipta yang bebas, yang tidak mengikut bentuk ukiran kumpulan, seperti yang lazim terdapat pada hasil pernyataan kesukuan atau ukiran mengikut tradisi, seperti yang terdapat pada batu-batu nisan di beberapa tempat di Semenanjung.
Batu Kemudi
Batu yang dinamakan batu kemudi ini berukuran 189 cm, tinggi 112 cm dan 39 cm tebal, diukir dengan cara yang sama dengan Batu Pedang, iaitu ukiran timbul. Ukiran pada batu ini menunjukkan suatu pemandangan yang mengandungi tumbuh-tumbuhan yang seolah-olah tumbuh di bahagian bukit. Terdapat juga ukiran kuda dan seekor binatang, seakan-akan kijang dan harimau. Bentuk-bentuk itu tersusun dengan imbangan yang sama, dalam ruang datar seperti dalam lukisan. Ini merupakan hasil seni rupa yang paling awal, yang menonjolkan konsep pemandangan di antara jenis-jenis rupa yang lain. Satu lagi aspek yang menarik ialah susunan batu-batu itu, yang mempunyai hubungan ruang di antara satu dengan lain.
Batu Sudu
Batu sudu berukuran 201 cm tinggi, 95 cm lebar, 28 cm tebal, terletak di tengah-tengah tanpa ukiran memberi imbangan kepada dua kumpulan kegiatan seni rupa Melayu asli yang mencapai taraf yang paling tinggi sebagai lambang jiwa bangsa.
Batu Nisan
Batu Nisan sejenis ukiran batu yang berbentuk tegak dan kaya dengan variasi. Antara batu nisan yang kaya dengan daya cipta ialah Batu Acheh yang terdapat di beberapa kawasan perkuburan di Semenanjung Malaysia. Bahan batu Acheh itu berasal dari Acheh, kebanyakannya digunakan untuk makam-makam diraja dan orang-orang besar. Batu jenis ini mula digunakan di Semenanjung pada abad ke-15 hingga ke-19 Masehi. Batu tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk iaitu pipih, persegi empat, persegi enam, persegi lapan, dan bulat. Bentuknya terdiri daripada bahagian asas, badan, bahu, dan kepala dan antaranya mempunyai bentuk seperti tanduk. Pada bahagian yang datar terdapat panel yang mengandungi ayat-ayat suci, dua kalimah syahadat dan sebagainya. Ayat-ayat itu diukir dengan tulisan kufi, thuluth dan dua jenis tulisan yang lain.
Hiasannya pula mengandungi corak tumpul, bulatan, bunga sulur, dan sebagainya. Kesemuanya dengan cara abstrak. Kebanyakannya mempunyai bahagian kepala yang berpuncak seperti bunga teratai kuncup. Apa yang menarik ialah sebilangan besar batu itu mempunyai reka bentuk yang indah dan aneka kemahiran mengukir bagi penggunaan bahan dengan peka. Boleh dikatakan beberapa buah batu Acheh mencapai tahap seni reka yang tinggi dalam seni rupa Melayu di Semenanjung.
Antara contoh ketinggian seni rupa ini terdapat bpada batu nisan makam Almarhum Sultan Mahmud Syah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Syah yang mangkat pada 1699 M di Kota Tinggi, Johor. Batu Nisan ini menunjukkan pernyataan formal dengan gabungan bentuk persegi empat, rata dan melengkung dengan unsur-unsur berbentuk sulur bayung. Batu nisan yang berbentuk persegi lapan kelihatan bersuasana teneram, berbanding dengan garis gerak yang terdapat pada nisan Sultan Mahmud. Sebuah batu nisan di makam Bendahara tun Habib, Kota Tinggi (1700 M), menunjukkan ukiran yang halus, dengan kemahiran pertukangan menyerupai pertukangan seni logam dengan motif-motif garis bentuk sulur yang abstrak. Ukiran hiasan pada permukaan batu nisan itut bergerak jalin dan bertindih lapis menyerupai gerak pertumbuhan pokok.

seni arca ukiran kayu


Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.
Sejarah Ukiran Kayu Melayu
Ukiran kayuberbentuk wau
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.
Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang
Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.
Bentuk Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.

Ukiran patung kayu Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.
Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.
Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;
Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)
Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau
Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.
Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal.
Mengukir kayu (khat)
Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

Artis seni arca...

Bathsheba Grossman

Beliau memulakan proses mencipta dan membina arcanya dengan menggunakan bantuan komputer. Beliau biasanya menggunakan perisian 3D modeling dan perisian CAD. Melalui proses awal itu beliau dapat menghasilkan arca yang baik dari sudut matematik dan kejuruteraan.

Patung Liberty


Patung Liberty lebih dikenali dengan nama Statue of Liberty atau Patung Kebebasan, adalah satu patung berukuran raksasa yang terletak di Pulau Ellis, di muara Sungai Hudson di New York, Amerika Syarikat. Patung ini dihadiahkan oleh Perancis untuk Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19 dan merupakan suatu simbol selamat datang untuk pengunjung, imigran dan orang Amerika yang pulang ke tanah air mereka.
Patung yang diberikan pada 28 Oktober 1886 ini merupakan hadiah seratus tahun kemerdekaan Amerika Syarikat dan merupakan simbol persahabatan antara kedua-dua negara. Pemahat patung adalah Frederic Auguste Bartholdi, dan Gustave Eiffel (pereka Menara Eiffel) merancang struktur dalamannya. Patung Liberty adalah salah satu lambang AS yang paling terkenal di seluruh dunia, dan melambangkan kemerdekaan dan kebebasan.

pengenalan seni arca...


Arca ialah patung yang menggambarkan sesuatu entiti yang khusus, biasanya manusia, peristiwa, haiwan atau objek. Tumpuannya ialah perlambangan.

Banyak arca dicipta melalui tempahan untuk memperingati sesuatu peristiwa bersejarah, atau kehidupan seorang tokoh. Ia bertujuan sebagai seni awam yang dipamerkan di luar, tetapi kekadangnya juga dipamerkan di dalam bangunan awam untuk menegaskan sesuatu kepada para orang lalu dengan cara yang lebih ketara daripada apa yang boleh ditekankan melalui penggunaan perkataan.

Kekadangnya, arca-arca pada dirinya mengilhami peristiwa bersejarah sendiri. Umpamanya pada tahun 1986, apabila Patung Liberty meraikan hari ulang tahunnya yang ke-100, suatu perayaan tiga hari diadakan yang menarik 12 juta orang. Perayaan ini dikatakan merupakan peristiwa awam yang terbesar di dunia sehingga hari ini. Senarai tetamunya amat unik. "Kami menjemput semua arca agung di dunia ke majlis hari jadinya dan mencipta boneka-boneka raksasa untuk mewakili arca-arca tersebut", kata Jeanne Fleming, pengarah acara itu. Setiap arca tiba dengan diiringi oleh muzik asli."

Terdapat sebuah legenda bandar tentang kod untuk mencipta arca penunggang kuda. Kuku kuda dikatakan menunjukkan bagaimana penunggangnya menemui ajalnya. Satu kuku kuda diangkat naik menunjukkan bahawa penunggangnya maut kerana cedera parah atau juga hanya dilukai dalam pertempuran. Sebaliknya, dua kuku kuda diangkat naik menunjukkan bahawa penunggangnya dibunuh dalam pertempuran. Walaupun demikian, sebuah tinjauan tentang arca-arca penunggang kuda di kebanyakan bandar raya Eropah yang utama menunjukkan bahawa legenda bandar ini tidak berasas. Walau jika legenda tersebut adalah benar, amalannya kelihatan pupus pada abad ke-19.

There was an error in this gadget
There was an error in this gadget